Keistimewaan Buah Zaitun
"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin
ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah
zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan
tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun
disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5
kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain
seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa
banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan
kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.
Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di
kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol,
Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah
menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana
Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi
pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman
buah zaitun.
Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf
khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang
perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak
sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi
penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami
kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan
luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami
ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan
Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan
sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".
Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak
tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu
merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah
dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti
Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa
negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam
pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi
tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam
Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati
diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko
seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat
didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah
bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang
terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak,
manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan
kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan
mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang
panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua
jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di
samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak
sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.
Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang,
penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin
meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya
kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan
yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh
itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang
daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat
minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun
media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak
zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu,
sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.
Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat
dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun
banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng
menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan
menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut
kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan
berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta
tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut
memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak
zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses
pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau.
Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan
terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang.
Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun
yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.
Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang
daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang
ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu
Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah
minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh
(beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai
yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk
kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun
dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat
pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat
bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al
Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.
0 komentar: